Laporan Program

Kem Gerakan Obor SK Ringlet

11 – 13 Julai 2008

SK Ringlet, Cameron Highland

            Pada 11 Julai 2008 yang lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Khas UiTM Malaysia telah menganjurkan satu program Kem Gerakan Obor yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Ringlet, Cameron Highland. Program ini melibatkan seramai 9 orang yang terdiri daripada urusetia dan fasilitator. Para peserta dari Sk Ringlet pula seramai 61 orang dari pelajar tahap 2 dan terdiri daripada kaum melayu,India dan orang asli. Pada 11 Julai 2008 kami bertolak dari UiTM Malaysia ke Sekolah Kebangsaan Ringlet, Cameron Highland. Pada hari pertama, fasilitator menjalankan program  ‘ice breaking’ dan dibahagikan kepada 6 kumpulan. Pada    

            12 Julai 2008, kami menjalankan aktiviti seperti senaman pagi, sesi latihan dalam kumpulan(LDK)iaitu LDK1,LDK2dan LDK3 dan pada sebelah petangnya, kami menjalankan akriviti ‘Treasure Hunt”. Pada jam 9.00 malam, para peserta berkumpul di dewan bagi menjalankan aktiviti Malam Kebudayaan yang turut dihadiri oleh guru besar serta guru-guru sekolah berkenaan. Setiap kumpulan dikehendaki untuk membuat persembahan mengikut arahan yang diberikan oleh fasilitator mereka. Pada 13 Julai 2008, seperti biasa awal pagi kami menjalankan aktiviti senaman pagi dan LDK4. Selepas minum pagi, aktiviti yang seterusnya ialah ‘Secreto D’ Amor’ dimana pelajar berkongsi masalah, meminta nasihat serta tips belajar bersama dengan fasilitator masing-masing. Tepat jam 10.30 pagi,upacara penutup dijalankan.

            Kehadiran para jemputan iaitu guru besar,serta penasihat GPMS iaitu Encik Ahmad Azahari bin Mohd Nazar. Seterusnya majlis penyampaian cenderamata kepada kumpulan yang menang serta cenderamata sekolah. Majlis diakhiri dengan bersalam-salaman dan bergamba kenangan bersama para peserta serta guru sekolah tersebut.Majlis berakhir pada pukul 1230 tengahari dan para peserta serta guru-guru dijemput untuk makan tengahari.Tepat jam 2.00 petang kami memulakan perjalanan pulang ke UiTM Malaysia dengan perasaan yang berat untuk meninggalkan sekolah tersebut.

 

Asas Pengendalian Majlis Rasmi dan Tatacara Diri serta Etika Sosial

14 dan 15 Julai 2008

Dewan Kuliah F, Menara Sains dan Teknologi, UiTM Malaysia

 

Pada 14 dan 15 Julai yang lalu, satu program ‘Asas Pengendalian Majlis Rasmi dan Tatacara Diri serta Etika Sosial’ anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung cawangan khas UiTM Shah Alam telah diadakan. Program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada barisan exco dan sekretariat GPMS mengenai protokol dalam mengendalikan sesuatu majlis.

Pada 14 Julai 2008, majlis bermula pada jam 8.30 malam. Penceramah pada malam tersebut ialah saudara Haffizi Hamizi. Beliau merupakan salah seorang exco GPMS-UiTM yang berkemahiran luas dalam mengendalikan protokol dalam sesebuah majlis. Beliau menerangkan serba ringkas mengenai asas pengendalian majlis rasmi dan tatacara diri dan etika sosial. Selain itu, beliau turut memberikan serba sedikit ilmu berkenaan dengan cara jemputan, cara makan dan minum, tatasusila dan pelbagai lagi.

Seterusnya pada malam kedua iaitu pada 15 Julai 2008, Tuan Haji Karim Bin Kasnan yang dijemput khas daripada Jabatan Korporat UiTM Malaysia. Beliau menerangkan asas-asas pengendalian majlis rasmi dan tatacara diri serta etika sosial dengan lebih mendalam. Di dalam taklimat beliau, turut diselitkan dengan amalan-amalan protokol dengan Sultan, antaranya protokol semasa mengiring, mengadap dan juga protokol semasa bersantap. Tuan Haji Karim juga mendedahkan cara yang telah digariskan oleh UiTM Malaysia berkenaan dengan jemputan, majlis dan penyiaran.

 

Minggu Penghayatan GPMS 2008

26 hingga 31 Julai 2008

Sekitar Universiti Teknologi MARA Malaysia, Shah Alam

 

            Minggu Penghayatan GPMS 2008 yang dianjurkan merupakan salah satu inisiatif GPMS UiTM Malaysia, Shah Alam untuk menyambut ulang tahun penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke-60 tahun pada 14 dan 15 Ogos 2008. Program yang berbentuk motivasi, ilmiah dan kepimpinan ini merangkumi beberapa aktiviti seperti Jualan Buku dan Tayangan Video, Hari Keluarga GPMS, Majlis Makan Malam bersama Alumni GPMS dan forum-forum yang bertajuk “Pendidikan Memperkasa Bangsa”, “Mahasiswa dan Politik” dan “Dasar Ekonomi Baru”.

            Program Hari Keluarga GPMS yang merupakan program pertama yang diadakan dalam Minggu Penghayatan GPMS 2008 yang mana ia merupakan salah satu inisiatif GPMS UiTM Malaysia untuk mengumpulkan semua ahli-ahli GPMS UiTM Malaysia berserta alumni yang telah banyak menyumbangkan tenaga, wang ringgit, masa dan ilmu pengetahuan demi memastikan perjuangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ini tidak terus berkubur ditelan arus zaman.

            Jualan Buku yang dijalankan di Dataran Cendekia, UiTM Malaysia telah mendapat kerjasama yang padu daripada Syarikat Alaf 21 yang mana syarikat tersebut merupakan pembekal buku yang utama dalam menjayakan program Jualan Buku ini. Tujuan diadakan program seumpama ini adalah untuk mengalakkan mahasiswa mahasiswi UiTM Malaysia untuk membudayakan amalan membaca.

            Pada masa yang sama, Tayangan Video telah dijalankan dengan menayangkan sebuah cerita yang bertajuk “Bukit Kepong” dan beberapa video yang berkisar tentang perjuangan, kemerdekaan dan pengorbanan para pejuang tanah air untuk tatapan para pengunjung dengan harapan agar mereka sedar akan tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa dan Negara dalam mempertahankan kemerdekaan, keamanan dan kedaulatan Negara agar terus terpelihara.

            Forum pertama bertajuk Pendidikan Memperkasa Bangsa telah diadakan pada 29 Julai 2008 di Dewan Sri Budiman, UiTM Malaysia. Panel-panel yang dijemput khas bagi mengupas isu ini ialah      Dato’ Prof Ir Radin Omar bin Radin Sohadi (Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi), Encik Lokman bin Zulkifli (Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Johor) dan Encik Mohd Akmal bin Dahlan (mantan Yang Dipertua GPMS UiTM Malaysia, Shah Alam yang ke-30). Moderator bagi forum ini ialah Tuan Tasyrif bin Tuan Kamaluddin (mantan Yang Dipertua GPMS UiTM Malaysia yang juga merupakan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar.

            Forum yang kedua bertajuk Mahasiswa dan Politik telah diadakan pada 30 Julai 2008 di Dewan Sri Budiman, UiTM Malaysia. Forum ini telah dijalan secara rakaman oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akan disiarkan di TV1 dalam slot Bicara Siswa. Panel-panel yang dijemput khas bagi mengupas isu ini ialah Dato’ Reezal Merican bin Naina Merican (Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung), saudara Mohd Abd Rauf bin Tumiran (Yang Dipertua GPMS UiTM Malaysia, Shah Alam,Exco 35) dan saudara Mohd Azreen bin Ariffin (Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, UNISEL). Moderator bagi forum ini didatangkan khas oleh pihak RTM iaitu Encik Shuhaimi Mohamed.

            Forum ketiga bertajuk Dasar Ekonomi Baru telah diadakan pada 31 Julai 2008 di Dewan Seminar, Fakulti Perakaunan, UiTM Malaysia. Panel-panel yang dijemput khas bagi mengupas isu ini ialah Dato’ Dr. Abdul Malik bin Munip (Panel Pemikir, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan) dan Encik Wazir bin Haji Harun (Timbalan Pengarah 1, Seksyen Pengagihan & Pembangunan Koridor, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri). Moderator bagi forum ini ialah Encik Irmohizam bin Ibrahim (Pensyarah Fakulti Undang-undang, UiTM Malaysia merangkap Exco GPMS Kebangsaan).

            Forum-forum yang telah dijalankan adalah untuk mengupas dan memberi pendedahan kepada mahasiswa mahasiswi UiTM Malaysia tentang isu-isu semasa yang sering terpapar di dada-dada akhbar dengan harapan agar mereka lebih peka dan sensitif terhadap apa yang telah berlaku dalam Negara ini.

 

Konvoi Jejak Obor-Sempena 60 Tahun GPMS

27 Julai 2008

Dewan Sri Budiman,UiTM Malaysia, Shah Alam.

 

            Pada 27 Julai 2008, program Konvoi Jejak Obor yang merupakan program  kerjasama di antara pihak GPMS Cawangan Khas UiTM Shah Alam dan GPMS Kebangsaan telah berjaya diadakan. Objektif utama program ini ialah untuk memperkenalkan GPMS kepada warga kampus UiTM serta beramah mesra dengan pucuk pimpinan universititi. Program ini disertai oleh 80orang ahli-ahli GPMS dari seluruh IPTA.

 

            Pada pukul 6.15 petang, wakil UiTM iaitu Encik Azizan Azid dan ahli-ahli GPMS UiTM Shah Alam telah tiba diperkarangan Dewan Sri Budiman untuk menyambut ketibaan peserta konvoi. Tepat jam 6.30 petang, sebanyak 20 buah kereta yang terdiri daripada peserta konvoi dari seluruh IPTA telah tiba di UiTM dengan di iringi oleh pihak polis dan pengawal keselamatan UiTM.

 

             Mereka telah menggunakan laluan bermula daripada pintu belakang UiTM, kemudian laluan di hadapan kolej Mawar dan seterusnya tiba di Dewan Sri Budiman. Suasana di dalam UiTM menjadi begitu meriah dengan bunyi hon kenderaan dan sorakan daripada para peserta sambil mengibarkan bendera GPMS di sepanjang laluan yang digunakan.

 

            Pada pukul 6.45 petang, para peserta tiba di perkarangan Dewan Sri Budiman dan di sana telah disambut oleh ahli-ahli GPMS Cawangan Khas UiTM Shah Alam dan wakil UiTM. Seterusnya, pihak GPMS Kebangsaan telah menyampaikan cenderahati kepada wakil UiTM iaitu Encik Azizan Bin Azid. Para peserta konvoi pula telah menerima bungkusan makanan dan minuman daripada pihak GPMS Cawangan Khas UiTM Shah Alam.

 

            Pada pukul 7.00 malam, para peserta konvoi meneruskan perjalanan terakhir mereka iaitu ke UIAM. Sebelum bertolak, para peserta konvoi dan ahli-ahli GPMS Cawangan Khas UiTM Shah Alam sempat mengambil gambar sebagai kenangan.

 

 

Perkasa Anak Desa

1 – 3 Ogos 2008

Kg. Permatang Palas, Pontian Johor

            Pada tanggal 1 Ogos  yang lalu, seramai 63 orang ahli GpMS telah menyertai program Perkasa Anak Desa (PAD),  yang mana program ini adalah sebuah program berbentuk kemasyarakatan dan pendidikan. Setiap peserta telah dibahagikan untuk medapat keluarga angkat dan mereka akan tinggal bersama keluarga angkat masing – masing selama 3  hari 2 malam. Setiap keluarga telah mendapat sekurang-kurangnya 2 orang anak angkat.

            Pada hari berikutnya, 2 Ogos 2008, para peserta telah mengadakan satu program motivasi kepada anak-anak kampung Permatang Palas yang mana focus utamanya adalah kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan UPSR,PMR dan SPM pada tahun ini. Para peserta dibahagikan kepada 9 kumpulan untuk menjadi fasilitator dan co-fasi kepada anak-anak kampong tersebut. Adik- adik di kampong tersebut telah diberi sedikit suntikan semangat dan motivasi diri serta kesedaran akan kepentingan ilmu.

            Seterusnya, 3 Ogos 2008, para peserta telah menjalankan aktiviti kemasyarakatan yang mana peserta yang terdiri dari 63 orang telah dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk bergotong – royong membersihkan kawasan kampong. Kumpulan yang pertama telah ditugaskan untuk membersih dan menceriakan surau   kawasan Kampung Permatang Palas Darat, kumpulan kedua pula di kawasan kampong Permatang Palas Laut dan kumpulan terakhir di kawasan kampong Permatang Palas Tengah. Setelah selesai semua aktiviti gotong-royong,para eserta diberi masa untuk bersama keluarga angkat masing-masing untuk kali terakhir dan bersiap untuk pulang semula ke UiTM. 

            Sepanjang program berlansung, para peserta dapat menikmati pelbagai jens buah-buahan memandangkan pada ketika itu adalah musim buah. Para peserta pulang ke UiTM dengan bekalan buah-buahan yang dibekalkan oleh keluagra angkat masing-masing. Pengalaman berada di kampong adalah satu pegalaman yang menakjubkan, jadi program Perkasa Anak Desa ini adalah satu program yang bermanfaat.

 

Perkhemahan Mesra Alam 9

8 Ogos 2008 – 10 Ogos 2008

Sungai Sendat, Hulu Yam, Selangor

 

            Seramai 64  orang ahli GPMS UiTM terlibat dengan program ini iaitu 38 orang peserta dan 26 orang yang diadakan di Sg. Sendat, Hulu Yam, Selangor .Sepanjang program tersebut, para peserta dilatih dan dibimbing oleh para urusetia  yang terdiri daripada ahli GPMS yang lebih berpengalaman  dan alumni-alumni GPMS sendiri . program perkhemahan ini berlangsung selama 3 hari 2 malam dan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik disediakan pada para peserta.

 

Hari pertama (08-08-08),bertolak dari UiTM pada pukul 6.00 ptg dan tiba pada pukul 10.00 malam. Setiba disana para peserta menjamu selera dengan hidangan yang disediakan dan seterusnya mendengar ucapan tentang mukaddimah GPMS dari alumni. Aktiviti tersebut kemudiannya disusuli dengan aktiviti Ice Breaking di mana semua peserta juga diminta melantik pengulu dan penghuluwati. Kemudian, taklimat keselamatan diberikan agar semua peserta peka terhadap keselamatan masing-masing sepanjang perkhemahan.

 

Hari kedua (09-08-08),latihan fizikal diadakan seawal 7.00 pagi dan sesi LDK pertama menyusul selepas sarapan pagi. Selesai minum pagi LDK kedua pula bermula dan seterusnya aktiviti “survival” bermula. Kemudian permainan cina buta pula menyusul pada sebelah petang setelah selesai solat asar berjemaah. Selepas solat maghrib dan isyak, pembaentangan peserta pula berlangsung dan malam itu diakhiri dengan operasi Burung hantu sejurus tamat sesi pembentangan.

 

Hari Ketiga (10-08-08), selaesai solat subuh berjemaah peserta dikumpulkan dibawah khemah untuk berkongsi pengalaman dan perasaan kerana hari hujan. Kemudian aktiviti meredah hutan menyusul dan Aktiviti “water confident” seterusnya diikuti dengan aktiviti mandi-manda. Setelah solat zohor berjemaah, majlis penutp berlangsung dan aktiviti gotong-royong menyusul selepas itu. Bertolak balik pada pukul 5.00 petang dan tiba di UiTM pada pukul 6.00 petang

 

Forum Pendidikan Dan Kerohanian Wanita

14 September 2008

Dewan Kuliah B, Menara Sains Dan Teknologi

30 Orang Urestia program

 

            Pada 14 September 2008, GPMS Cawangan Khas UiTM Malaysia telah menganjurkan sebuah forum yang bertajuk “Tercabarkah Wanita”. Objektif forum ini diadakan bagi mendedahkan kepada golongan mahasiswi khususnya mengenai sejarah penglibatan wanita di dalam aspek pendidikan serta cabaran yang dihadapi oleh kaum hawa. Tiga ahli panel telah dijemput bagi mengupas tajuk ini, panel-panel tersebut ialah  Dato’ Dr. Syed Ahmad bin Syed Samsuddin Al-Saggof , Pn. Hjh Norizah Binti Hussin, Pn. Rokiah Binti Mahmood.

 

            Majlis bermula pada jam 10.00 pagi dan ia dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh saudara  Mohd Hassan Mustaqim. Seterusnya, majlis diserahkan kepada  Nurul Izzah bt Wahidul Azam sebagai moderator forum. Forum dimulakan dengan menceritakan sejarah pendidikan wanita dahulu dan kini di mana ia merangkumi pendidikan formal dan tidak formal. Wanita pada zaman dahulu kebanyakannya mengamalkan pendidikan secara tidak formal di mana ia diajar sendiri oleh ibu  bapa manakala wanita pada zaman kini didedahkan dengan pendidikan formal dimana ia diajar oleh guru.

 

Tercabarkah wanita?? Sesungguhnya wanita kini menghadapi pelbagai cabaran terutamanya bagi yang telah berkahwin kerana tanggungjawab mereka lebih berat berbanding lelaki di mana mereka terpaksa membahagikan masa di antara rumahtangga dan kerjaya. Selain itu, wanita kini juga tercabar apabila ia terpaksa berhadapan dengan kerjaya yang dimonopoli oleh lelaki di mana mereka perlu bijak membawa diri agar tidak dipandang rendah oleh kaum lelaki.

 

Forum ini turut menyentuh mengenai kepentingan ilmu dalam menempuh kehidupan terutamanya pada zaman serba moden kini. Ilmu ini hendaklah merangkumi ilmu dunia dan akhirat agar ilmu ini dapat digunakan sebagai perisai dalam menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan. Wanita kini tidak lagi dipandang rendah oleh masyarakat disebabkan oleh tahap pendidikan yang diperolehnya setanding dengan kaum Adam di mana kini kita dapat lihat ramai wanita kini menjawat jawatan tinggi dan sumbangan mereka diiktiraf oleh negara.

 

Kesimpulannya, wanita kini perlu bijak dalam mengambil sesuatu tindakan agar ia tidak melampaui batasan agama yang bakal memudaratkan diri sendiri. Sesungguhnya tangan wanita yang menghayunkan buaian itu mampu menggoncangkan dunia.

 

Tepat jam 12.45 tengahari, forum berakhir dan majlis penyampaian cenderahati diadakan. Penyerahan cenderahati kepada ahli-ahli panel dibuat oleh penasihat program iaitu Puan Masrina Binti Abdul Halim dan diiringi pengarah program, Nadiah Binti H.Saharuddin. Majlis ditamatkan dengan bacaan tasbih Kifarah dan surah Al-Asr.

 

Majlis Makan Malam Perkasa 17

10 Januari 2009

Dewan Kolej Delima, UiTM Malaysia

Pada 10 Januari 2009, satu Majlis Makan Malam Perkasa 17 telah diadakan dengan jayanya dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar.  Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Makan Kolej Delima yang dianjurkan oleh Perkasa 17 iaitu peserta Kem Penyambung Warisan Era 17.

Majlis yang menjadi pembuka tirai 2009 bagi GPMS ini melibatkan penyertaan daripada Penasihat GPMS UiTM, exco, seketeriat, alumni GPMS UiTM dan ahli Perkasa 17 sendiri seramai 92 orang.

Bagi menjayakan majlis ini, ahli Perkasa 17 yang terlibat telah mewujudkan jawatankuasa untuk mengendalikan majlis tersebut secara keseluruhan. Tugas-tugas tersebut meliputi teknikal dan logistik, publisiti dan jemputan, dana dan penajaan, makanan, tugas-tugas khas, tempat ,program dan persembahan, hiasan dalaman, cenderahati serta dokumentasi bagi memastikan segala persiapan dan perjalanan majlis berjalan seperti yang dirancang.

Majlis ini dianjurkan bertujuan untuk menghargai jasa usaha semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Kem Penyambung Warisan (Era 17) selain dapat meningkatkan semangat kerjasama berpasukan dalam mengendalikan sesuatu program. Di samping itu, melalui program ini juga dapat mempertingkatkan dan mempelajari kemahiran berkomunikasi melalui interaksi dengan orang ramai dari pelbagai latar belakang. Seterusnya yang paling penting adalah dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama ahli GPMS di samping  dapat saling berkenalan antara satu sama lain.

Majlis dimulakan dengan ketibaan ahli dan alumni GPMS UiTM dengan sesi pendaftaran peserta yang telah dipertanggungjawabkan kepada jawatankuasa publisiti dan jemputan pada jam 8.00 malam. Seramai 92 orang jemputan yang telah hadir ke majlis tersebut yang terdiri daripada 46 orang ahli Perkasa 17, penasihat GPMS UiTM, 17 orang urusetia Kem Penyambung Warisan Era 17, 30 orang sekreteriat, exco serta alumni GPMS UiTM.

Majlis yang bertemakan warna hitam, merah dan putih dimeriahkan dengan kehadiran jemputan yang memberi kerjasama dengan berpakaian mengikut tema majlis. Bagi menceriakan lagi majlis, setiap jemputan telah dihadiahkan cenderamata istimewa Perkasa 17 (batch), dan buku program yang dikepilkan bersama nombor cabutan bertuah.  Setelah semua jemputan hadir, doa pembukaan majlis dibacakan bagi memberkati majlis. Seterusnya disusuli dengan nyanyian lagu UiTM dan GPMS.

Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan dari Penghulu Perkasa 17, Yang Di Pertua dan juga penasihat GPMS dan mereka turut menyempurnakan perasmian majlis dengan acara pemotongan kek. Kemudian suasana dewan menjadi lebih meriah dengan sorakan jemputan sebaik tayangan gambar Kem Penyambung Warisan Era 17.  Bagi meredakan suasana, penyampaian sijil, penyerahan simbolik Perkasa 17 dan plague telah diserahkan oleh Penghulu Perkasa 17 kepada YDP dan penasihat GPMS.

Saat yang paling dinanti-nantikan oleh jemputan apabila pengerusi majlis menjemput hadirin bagi menjamu selera dimana jawatankuasa makanan dipertanggungjawabkan mengendalikan bahagaian tersebut. Sambil menikmati jamuan, majlis dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah dan juga nyanyian oleh peserta, urusetia dan alumni amat memeriahkan majlis.

Antara aktiviti lain yang dijalankan adalah permainan kotak beracun yang mendapat sambutan baik dari kalangan jemputan yang sporting menambah keceriaan majlis. Seterusnya kejutan telah dibuat apabila majlis turut disertakan dengan sambutan hari jadi urusetia dan peserta yang menyambut hari kelahiran pada bulan Januari. Sebelum majlis bersurai, sesi bergambar menjadi pelengkap dan penutup majlis pada jam 11 malam.

Secara keseluruhannya, segalanya berjalan lancar dan semua pihak telah memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan majlis ini.

Komentar
  1. Ahli GPMS berkata:

    kan best kalo report2 ni di attach ngn gmbr….

  2. k,a0616 berkata:

    gamabr ada, tapi belum disebarkan lagi ker… lamanweb die
    layari http://gpmsuitm.fotopages.

  3. hanif berkata:

    bagus… teruskan activi menyedarkan bangsa malaysia

  4. aishah berkata:

    tenkiu, k.a…..tp agy bagus if laporan program ringkas tapi padata and ada gambar…..yg nie mcm panjang sgt2….

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s