Kem Gerakan Obor: Sek Keb Ringlet
DIkirim oleh GPMS-UiTM di Selasa, 15 Julai 2008
Pada 11 hingga 13 Julai 2007, kami mendaki tanah tinggi Cameron dengan semangat yang membara untuk membantu pelajar-pelajar Sek Keb Ringlet yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini berjaya dalam peperiksaan yang akan berlangsung pada September 2008 ini. Terdapat juga peserta daripada pelajar darjah 4 dan 5 sekolah tersebut. Seramai 9 orang tenaga penggerak yang terdiri daripada 3 lelaki dan 4 perempuan hadir kesana dengan menaiki van yang disediakan oleh pihak UiTM.
Kami tiba di sekolah tersebut pada pukul 6.40 petang, 11 julai 2008 dengan disambut mesra dan senyuman oleh beberapa orang guru sekolah tersebut. Program kami bermula pada malam sejurus kami tiba di sekolah tersebut dan kami melihat telatah dan aksi dari murid-murid sekolah amat menceriakan suasana. Kami sangat bertuah kerana dapat bertemu dengan adik-adik di sana yang penuh bersemangat dan sangat aktif dalam setiap aktiviti yang telah kami sediakan. Selain mengadakan aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK), kami juga mengadakan Malam Kebudayaan dan Surat Wasiat dan alhamdulillah, respons daripada murid-murid sangat memberangsangkan.
13 Julai 2008 merupakan hari terakhir kami di sana diiringi perasaan sebak kerana terpaksa berpisah dengan warga sekolah yang amat kami sayangi. Walau bagaimanapun, kami berangkat pulang dengan hati yang sedih dan penuh harapan agar adik-adik di SK Ringlet mendapat kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran mereka.
Harapan kami, supaya program motivasi seperti ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan. Kami mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan sekolah dan warga pendidik SK Ringlet kerana memberikan kami peluang dan ruang masa bagi membantu pihak sekolah dalam meningkatkan darjat pengetahuan bangsa.







