GPMS UiTM

"Belajar Terus Belajar"

  • Halaman

  • GPMS Bimbing Murid Prestasi Rendah Di Sabah

    DIkirim oleh GPMS-UiTM di Rabu, 23 Januari 2008

    GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Sabah sedang mengesan Sekolah Prestasi Rendah (SPR) di negeri itu yang mencatat prestasi sifar lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Rendah (UPSR), untuk mengikuti program peningkatan akademik anjuran GPMS Pusat mulai tahun ini.

    Pengerusi Perhubungan GPMS Sabah, Datuk Lajim Ukin berkata, pihaknya memberi keutamaan kepada sekolah di luar bandar dan pedalaman serta pulau.

    Katanya, menerusi program Jelajah GPMS yang membawa bersama guru berpengalaman, pertubuhan itu akan menganjurkan kem motivasi dan kelas bimbingan akademik.

    Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan Motivasi Perdana yang menampilkan pelajar cemerlang UPSR peringkat kebangsaan dan negeri untuk dijadikan sumber inspirasi kumpulan sasar program memanfaatkan murid SPR.

    “Kami turut menganjurkan program peningkatan akademik untuk calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya pada sidang media selepas perjumpaan GPMS Sabah bersama Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican di Kota Kinabalu, kelmarin.

    Hadir sama, Naib Presiden GPMS Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan dan Ahli Jawatankuasa GPMS Sabah, Saridah Mohd Dun.

    Lajim mengulas kenyataan Reezal Merican, mengenai hasrat GPMS membantu SPR sifar lulus UPSR di Sabah seperti disiarkan ruangan Pendidikan akhbar ini pada 7 Januari lalu.

    Reezal Merican dilaporkan berkata, GPMS akan membantu menjana kecemerlangan akademik SPR yang mencatat sifar lulus UPSR di Sabah, mulai tahun ini.

    Beliau berkata, murid sekolah terbabit akan didedahkan kaedah pembelajaran dan mengulangkaji pelajaran secara berterusan dari awal tahun sehingga menjelang peperiksaan.

    Katanya, dua sekolah akan dipilih dari setiap 25 Parlimen di Sabah termasuk sebuah sekolah menengah untuk program PMR dan SPM.

    Dalam pada itu, Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Klias, berkata usaha GPMS dapat membantu merapatkan jurang pencapaian akademik antara pelajar Sabah dengan Semenanjung.

    “Saya harap sekolah terpilih memberi kerjasama padu menjayakan program peningkatan akademik SPR sifar lulus UPSR bagi memastikan semua sekolah di Sabah berprestasi cemerlang pada 2010 seperti disasarkan GPMS,” katanya.

    Sumber: Berita Harian, 23 Januari 2008

    Tinggalkan jawapan

    XHTML: Anda boleh menggunakan tag ini: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>