2000 Mahasiswa UiTM Tonton “1957: Hati Malaya”
DIkirim oleh GPMS-UiTM di Selasa, 22 Januari 2008
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berjaya menganjurkan Tayangan Perdana ‘1957: Hati Malaya’ untuk kali keduanya di kampus induk Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM) Shah Alam, Selasa malam, 8 Januari 2008.
Lebih 2,000 orang mahasiswa dan siswi pusat pengajian tinggi itu hadir menonton filem yang memaparkan perjuangan tokoh-tokoh negara dalam usaha memerdekakan negara ini dari penjajah.
Bagaimanapun, hampir 200 pelajar yang hadir tidak dapat menonton kerana Dewan Sri Budiman telah penuh sesak. Majlis Tayangan Perdana itu telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut menonton filem tersebut hingga selesai dan kemudiannya menerima cenderahati daripada pihak penganjur.
Turut bersama menonton filem tersebut Presiden GPMS, Datuk Haji Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM, Profesor Datuk Dr. Nasruddin Othman, Pengarah ‘1957: Hati Malaya’, Shuhaimi Baba dan beberapa pelakon utama filem tersebut.
Sebelum itu, Presiden GPMS, Datuk Haji Reezal Merican Naina Merican berucap kepada penuntut UiTM menyeru agar sentiasa mengenangi dan menghayati sejarah kemerdekaan negara. Menurutnya, dalam usaha menghayati perjuangan tokoh kemerdekaan melalui filem ‘1957: Hati Malaya’, para mahasiswa perlu memikirkan bagaimana untuk mengisi serta memajukan negara ini untuk 50 tahun akan datang.
Usaha mengadakan tayangan perdana filem tersebut di pusat pengajian tinggi awam adalah dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Pesona Pictures sebagai satu cara merealisasikan hasrat dan peranan GPMS terhadap mahasiswa di IPTA seluruh negara agar diresapi semangat patriotisma serta memahami erti kemerdekaan yang dinikmati hari ini.
Objektif penting GPMS menganjurkan tayangan perdana itu juga antara lain agar ianya menjadi wadah bagi menyingkap sejarah pejuang-pejuang, rentetan menuju kemerdekaan dan memperkenalkan tokoh sejarah kemerdekaan negara yang mesti dihayati oleh segenap generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara.
Sumber: gpms.org.my
Sinopsis
Semangat Merdeka – Ingatilah panorama pejuang bangsa yang telah memerdekakan kita dari penjajahan. Hari ini, kita harus pertahankan dan kekalkan kebebasan yang diwarisi dengan berpegang kepada intergriti negara. Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan kehidupan yang lebih baik bagi setiap rakyat Malaysia. Kita harus membalas budi mereka dengan kekal bersatu serta dikukuhkan lagi dengan bahasa kebangsaan dan warisan kita.
Hali, Salmi, Rafik, Ani dan Ang Lee, mewakili generasi muda Malaysia yang datang dari latarbelakang dan pemikiran berbeza, berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar ‘1957 – Hati Malaya’. Dalam pencarian itu, mereka menemui percintaan, persahabatan, kesetiaan dan memahami perjuangan tahun 1957.
Mereka betul-betul mendalami dan menjiwai karektor dan peristiwa yang begitu emosi dan membawa mereka kepada era semangat rakyat Tanah Melayu bangkit menuntut kemerdekaan – Rakyat biasa yang miskin dan mundur di era penjajahan British yang mahu menjadi bangsa kelas pertama di bumi mereka sendiri. Mereka jatuh cinta dan bertemu cinta terhadap negara melangkaui perasaan emosi peribadi mereka. Watak kini menemui pengertian sebenar ‘pengorbanan’ dan ‘Merdeka’.
Filem memfokus kepada Tunku Abdul Rahman, pengasas kepada Kahayan Parti Perikatan, yang menjadi Perdana Menteri pertama Malaya pada tahun 1957, walaupun mendapat tentangan secara halus daripada British yang mahu melambatkan kemerdekaan. Dan Datuk Onn Ja’afar, pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union yang dicadangkan oleh British pada tahun 1946.
Sumber: Sinema Malaysia






